PETUA, KISAH MISTERI, RENCAH HIDUP & SUKA SUKA

Khamis, 8 Disember 2011

KISAH BENAR : APAKAH JAWAPANNYA ?

Khalifah Harun Ar-Rasyid merupakan khelifah Bani Abassiah yang amat cintakan ilmu. Bersama permaisurinya, Zubaidah, baginda memperolehi dua putera iaitu Al-Makmun dan Al-Amin. Kedua-dua orang putera itulah yang bakal menggantikan baginda sebagai khalifah. Tetapi soalnya, siapa yang paling layak ?

Sebagai persediaan mengambil alih jawatan, Khalifah Harun memberikan didikan yang sempurna kepada putera-puteranya itu. Para cendikiawan dari pelosok dunia juga dipanggil untuk memberi ilmu kepada Al-Makmun dan Al-Amin.
Suatu hari, Khalifah Harun memanggil semua guru putera-puteranya itu dan meminta mereka memberikan pandangan siapa yang sepatutnya menggantikan tempat baginda. Kesemua guru tersebut sepakat mengatakan Al-Makmun. Para pembantu, kedua-dua orang puteranya juga bersetuju, memang Al-Makmun yang paling layak.

Tetapi, benarkah demikian? Permaisuri Zubaidah meminta Khalifah Harun menyelidik lebih mendalam. Baginda bersetuju, lantas memanggil ketua pengasuh Al-Amin.


Kata Khalifah Harun, "Wahai wanita budiman, cuba kau berpura-pura kepada puteraku Al-Amin, kononnya kau telah diberitahu bahawa jawatan khalifah akan diberikan kepadanya. Lihat bagaimana sikapnya nanti . "Arahan yang sama diberikan kepada pengasuh Al-Makmun.

Apabila ketua pengasuh Al-Amin pulang selepas menyempurnakan arahan tersebut, Khalifah Harun terus bertanya reaksi puteranya itu. Jawab pengasuh tersebut....
"Wahai Amirul Mukminin, Al-Amin berjanji akan memberikan aku hadiah yang sangat besar seandainya dia menjadi khalifah kelak." Harun terkejut mendengar jawapan puteranya itu. Dia mengalih pandangan kepada pengasuh Al-Makmun pula.
"Bagaimana sikap puteraku itu?" tanya Khalifah Harun.
Jawab pengasuh Al-Makmun, "Wahai Amirul Mukminin, puteramu amat berduka cita apabila mendengar berita itu. Al-Makmun berkata, dengan penggantian jawatan, ini bererti kematian ayahandanya."

Khalifah Harun tersenyum, memang Al-Makmun layak menggantikannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan